Teori Fizik Jelaskan Faiz Subri Mampu Buat Lencongan Sebegitu Lagi
bola
"Magnus Effect" Jelaskan bagaimana lencongan sebegini pelik boleh berlaku

Hanya kerana satu sepakan, hidup seorang pemain bola sepak Pulau Pinang yang tak berapa dikenali sebelum ini menjadi popular serata dunia.

Itulah yang dialami Faiz Subri, penyerang pasukan Pulau Pinang yang menjaringkan gol hasil sepakan lencong 'menggila' ala Roberto Carlos sewatu pasukannya menewaskan Pahang 4-1 tempoh hari.

"Angin tiup kot."

Seperti biasa, orang yang tidak pernah main bola akan komen sebegitu. Hakikatnya, buat seorang pemain bola (sekolah, amatur atau profesional), sedar bahawa sepakan lencong mampu dilakukan dengan latihan yang betul dan konsisten.

Cuma, dalam situasi Faiz, dia melakukan lencongan luar biasa yang amat jarang dilakukan oleh pemain profesional lain kecuali bekas bek kiri Brazil, Roberto Carlos.

Bagi Abang Ohsem, lencongan Faiz lebih unik kerana ia bermula dari dalam dan melencong ke luar, berbanding kebiasaannya melencong dari luar ke dalam seperti yang dilakukan pemain seperti Roberto Carlos atau David Beckham.

PENJELASAN FIZIK

Daripada buat kesimpulan kelakar kata bola kena tolak angin atau 'nasib je,' baik kita fahami dulu bagaimana lencongan itu boleh dilakukan mengikut hukum fizik.

Kalau ikut Hukum Newton Pertama, sesuatu objek akan bergerak dalam HALUAN dan HALAJU yang sama, sehinggalah ADA DAYA yang 'menggangu' pergerakan objek tersebut.

Dalam situasi Faiz, apabila dia menyepak bola itu, dia memberikan haluan dan halaju kepada bola itu.

Katakan dia menyepak seperti biasa, bola itu tidak akan melencong kerana TIADA DAYA yang bertindak terhadap halaju dan haluan bola itu. Tetapi, nyata bola itu melencong jauh. Mengapa?

Ia berlaku kerana Faiz menyepak di bahagian bawah kiri bola. Posisi tepat pada bahagian yang disepak itu menghasilkan 'spin'. Dalam erti kata lain, Faiz bukan sekadar menyepak, tetapi dia juga memberikan DAYA (spin)  kepada bola tersebut hingga menyebabkan bola itu melayang sambil berputar pada paksinya.
 
Fenomena putaran ini dipanggil 'Magnus Effect.' Ia pertama kali dikesan oleh Isaac Newton dalam permainan tenis pada tahun 1672 sebelum penjelasan lengkap mengenainya dibuat oleh Heinrich Gustav Magnus pada tahun 1872.

Itu maksud lencongan secara asas sahaja. Masalahnya, lencongan bola Faiz dan Roberto Carlos terlalu ekstrem. Macam mana pula tu?

Mengikut hasil kajian ahli-ahli Fizik Perancis dalam jurnal New Journal of Physics, lencongan ekstrem seperti yang dilakukan Roberto Carlos itu berlaku kerana ia mengikut ''trajektori cengkerang siput' yang juga dipanggil 'spiral.'

Kajian sama terhadap lencongan bola dihasilkan Roberto Carlos pada tahun 1997 mendapati, jika FAKTOR GRAVITI tidak memainkan peranan, inilah pergerakan sebenar bola yang disepak Roberto-yakni ia akan berputar seperti cengkerang! (Rujuk rajah dibawah). Nasib baik ada graviti, kalau tidak dah jadi macam filem Shaolin Soccer lakonan Stephen Chow.



Mengikut kajian sama, dengan mengambil kira jarak sepakan Roberto Carlos sejauh 35 meter, kelajuan 38m/s dan sudut pintu gol 12 darjah:

1. Bola akan tersasar 4 meter dari pintu gol jika tiada SPIN

2. Bola akan tersasar 1 meter dari pintu gol JIKA IA MENGIKUT TRAJEKTORI BULAT

3. Bola akan masuk ke dalam gol JIKA IA MENGIKUT TRAJEKTORI CENGKERANG SIPUT (SPIRAL)

 



JADI, APAKAH KESIMPULANNYA UNTUK FAIZ?

Kesimpulannya, mengikut teori fizik, Faiz Subri boleh melakukan sepakan serupa pada masa hadapan. Ya, memang boleh. Tetapi...

Daripada segi praktikal, teknik itu sangat sukar dilakukan kerana beliau perlu 'master' tiga pemboleh ubah untuk menghasilkan lencongan menggila sebegitu:

1. Sudut relatif kepada pintu gol
2. Tahap kelajuan bola
3. Kawasan di mana bola itu disepak


Setelah tiga aspek ini difahami, Faiz perlu tengok pula jarak bola dengan pintu gol! Itulah bola sepak. Nampak macam mudah bukan? Kalau setakat main sepak tak tentu hala semua orang boleh. Hakikatnya, it's a difficult game.

Dalam situasi Faiz, kami yakin dia boleh melakukannya lagi. Nak spin memang boleh, antara masuk gol dengan tidak sahaja!


Sumber: BBC dan semuanyabola.com
 

Artikel berkaitan