"Abang & Anak-Anak Syurga Saya"-Ucapan Surirumah Yang Menyentuh Jiwa Suami
ustaz
Pengorbanan hidup sebagai surirumah yang menyentuh hati suami

Islam tidak pernah membezakan seseorang itu melalui pekerjaan dan taraf hidup mereka. Apa yang dinilai adalah amal dan perlakuan sepanjang menjalani kehidupan di dunia. Hidup seorang isteri sebagai suri rumah mungkin kita anggap mudah. Lebih-lebih lagi buat suami yang tiada masa di rumah akibat sibuk dengan kerja di pejabat.

Hakikatnya, suri rumah adalah kerja isteri yang sangat mencabar kerana tiada waktu untuk berehat. Hanya suami yang yang pernah melihat bagaimana isteri menguruskan rumahtangga faham betapa beratnya tugas yang dipikul.

Perkongsian oleh Ustaz Ebit Lew di bawah adalah bukti betapa besar pengorbanan isteri yang bergelar suri rumah. Apatah lagi jika ia dilakukan demi menjaga amanah Allah iaitu anak-anak, agama dan makan-pakai buat suami.  

Suri rumah adalah pekerjaan terbaik dunia. Dialah jurutera, arkitek, guru, doktor, motivator, jururawat, permaisuri, ratu, bidadari...pencinta paling ikhlas. Pernah bertanya saya masa mula-mula kahwin. "Abang nak saya bekerja atau jadi suri rumah?" Saya kata keduanya mulia di sisi Allah. Paling utama niat kerana Allah dan bawa Islam dan Sunnah nabi SAW dalam kehidupan.

Kami sama-sama bekerja. Gaji saya kecil. Gaji isteri saya tiga kali ganda jauh tinggi daripada gaji saya. Saya bawa isteri bersama-sama perbaiki diri. Sehinggalah satu hari isteri saya ingin berhenti kerja untuk hidupkan rumah dengan amal agama dan bimbing anak-anak.

"Anak-anak amanah Allah. Saya nak tunggu abang balik kerja setiap hari. Nak hantar dan sambung abang balik kerja. Sebab abang dan anak-anak syurga saya." Bila teringat, sebak rasa... Keinginan saya semenjak dulu lagi agar isteri jadi suri rumah sepenuh masa. Tapi perinsip hidup saya ingin isteri buat kerana hatinya setelah dia belajar iman. Bukan kerana saya. Biarlah kerana Allah. Saya sujud syukur. Itu hari saya menangis terlalu gembira dalam hidup saya.

Saya lihat isteri kerja suri rumah 24 jam tanpa henti. Tiada punch card. Tak tahu mana dipanggil mula dan mana dipanggil habis kerja. Sentiasa bermula dan tiada penghujung. Peluh dan lenguh tiada lagi. Kerja paling berat tak peduli diri sendiri sampai akhir hayat. Ya Allah..

Tak tahu masa bila berehat. Anak rehat, mak curi-curi berehat. Anak jaga menangis, mak berjaga. Tidur macam tak tidur. Sambut suami, bercerita dan luahkan cerita kerana rindukan suami. Masak sedap-sedap tunggu suami balik. Tinggal sedikit kawan dan kehidupan. Yang tinggal hanya suami dan anak-anak. Dalam sedih atau merajuk terus mengurus suami dan anak-anak. Kesusahan dan kesedihan tanggung seorang diri. Itulah suri rumah.

Dulu, pernah saya balik rumah menangis kerana gaji seribu lebih sikit je tinggal. Kerja dan projek dah takde. Hari Raya tak keluar rumah. Kata bidadari suri rumah dalam hidupku, "bersabarlah kerana kita ada Allah. Jangan sedih. Kan abang selalu kata Allah jaga orang yang jaga agama. Allah tidak akan sia-siakan mereka," kata isteri.

Semua orang paling kaya dan hebat akan kata paling yang diinginkan dalam hidup ini patah balik semula ke belakang dan mula memberi masa untuk keluarga. Beri masa buat pasangan tercinta. Beri masa buat ibubapa. Beri masa buat anak-anak. Tak sanggup kehilangan saat mereka membesar. Saat berdua-duaan dengan suami..

Wahai surirumah seluruh dunia usahlah bersedih kerana kerjamu paling mulia. Jadikan dirimu surirumah di dunia ini dengan ikhlas. Syurgalah rumah kenikmatan buat dirimu selamanya satu hari nanti.

Buat wanita yang bekerja, kamu juga amat mulia kerana membantu suami kerana tuntutan zaman dan keperluan hidup serta kerjaya yang perlu ada wanita di sana. Tugas mencari nafkah tugas lelaki tetapi ada kerja yang memerlukan kamu. demi menghidupkan hukum Allah. Hanya Allah yang membalas pengorbananmu.

Begitulah antara petikan nukilan Ustaz Ebit Lew yang begitu menghargai isterinya yang bekerja sebagai suri rumah. Dalam masa yang sama dia juga menghargai isteri-isteri di luar sana yang turut bekerja membantu suami.

Ustaz, you earned my respect!

* Untuk petikan penuh, layari www.facebook.com/ebitlew

 

Artikel berkaitan