Mat Saleh Masuk Islam lepas Backpack Di Malaysia & Indonesia. Ini Sebabnya
Michael
Pengalaman backpack di Malaysia dan Indonesia mengajar Michael banyak perkara

Ada banyak sebab seseorang itu bertukar kepada agama Islam. Ada yang disebabkan perkahwinan. Segelintir pula bermula dengan minat mendalami tentang Islam hingga mengambil keputusan untuk berhijrah.

Bagi seorang backpacker berdarah campuran Belanda/Belgium yang bernama Michael Ruppert, dia mula mendalami Islam hingga berhijrah setelah backpack selama 4 tahun di Malaysia dan Indonesia. Apa sebabnya?

Selama backpack di Malaysia, Michael berkata dia tidak pernah tidur di hotel mahupun hostel. Sebaliknya, dia tinggal bersama keluarga tempatan dan belajar tentang budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini.

SEBAB MEMILIH ISLAM

"Semua keluarga angkat saya di Malaysia dan Indonesia beragama Islam. Selama tinggal dengan mereka, mereka tidak pernah mengajak atau memaksa saya memeluk Islam. Mereka hanya menunjukkan bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian. Daripada situ, saya memperolehi inspirasi untuk mendalami tentang Islam, hingga saya menyertai kelas-kelas agama di beberapa buah masjid di Kuala Lumpur dan Jakarta," Ujar Michael.


* Michael ketika bercuti di Pahang. Foto: Starring you


Michael menambah, walaupun sudah menghadiri kelas agama, hatinya masih belum terbuka untuk masuk Islam. Namun, guru-guru agama menghormati keputusannya. Pada masa yang sama, hatinya terbuka untuk belajar memabca Al-Quran dan cara beribadah dalam Islam. Ketika itulah dia sedar Islam adalah agama yang harus dianutinya. Akhirnya beberapa bulan lalu ketika umurnya genap 28 tahun, Michael akhirnya memeluk Islam.

Menurut Michael, dia masih kelihatan seperti Michael yang dulu walaupun sudah memeluk Islam. Walaubagaimanapun, dengan solat 5 waktu yang diamalkannya setiap hari, Michael
berkata dia menjadi lebih fokus tentang perkara-perkara penting dalam hidup. Dia juga berasa lebih tenang dan tabah dalam berdepan dengan pelbagai masalah.



Kata Michael, salah satu surah dalam Al Quran yang menjadi inspirasi kepadanya ialah Surah Al Hujurat, ayat ke-13 yang bermaksud: Wahai manusia: sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan kami jadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.

Paling menarik, Michael berkata keluarga dan teman-temannya di Belanda tidak membantah tindakannya itu. Majoriti rakyat di Belanda terkenal dengan sikap berfikiran terbuka bila bercakap tentang soal agama dan bangsa. Keluarga Michael juga begitu. Mereka membantu Michael dalam apa jua keadaan walaupun berlainan agama.

Sehingga hari ini, dalam pengembaraannya selama 4 tahun ke serata dunia, Michael sudah melawat 60 buah negara.

 

Kredit: Facebook Starring you milik Michael Ruppert

 
 

Artikel berkaitan