Kelab Bolivia Terpaksa Pakai Jersi Pasar Malam & Tulis Nama Guna Pen Marker
Bolivia
Jersi spare tiada, pakai jersi cetak rompak pun jadi!

Ini memang lawak.

Walau macam mana sekalipun para peminat kutuk Liga Super di negara kita, ia tidak akan dapat menandingi insiden yang berlaku melibatkan salah sebuah kelab dalam liga profesional Bolivia iaitu Kelab Atletico Ciclon.

Dalam perlawanan liga menentang kelab Real Potosi 3 hari lepas, mereka terpaksa memakai jersi cetak rompak yang dibeli pada saat-saat akhir di pasar malam. Sudahlah jersi cetak rompak. Jersi tersebut ialah jersi kelab 'As Roma' pula!

Al kisahnya, Ciclon yang merupakan pasukan pelawat memakai jersi warna putih, warna yang hampir menyamai warna jersi tuan rumah. jadi, pengadil mengarahkan Ciclon untuk menukar jersi mereka kepada warna selain putih.

Masalahnya, Ciclon hanya ada dua versi jersi sahaja. Home dan away. Mereka berstatus kelab kerdil yang baru dinaikkan ke liga utama Bolivia. Mana ada bawa jersi ketiga. Kerana kesuntukan masa, kit man pasukan Ciclon bergegas ke luar stadium untuk mencari jersi. Kebetulan, di luar stadium kelab Potosi ada pasar malam yang menjual jersi. Kit man Ciclon dengan selamba beli 12 jersi cetak rompak kelab As Roma (agaknya itu je jersi yang tinggal) dan kemudian menulis nombor dan nama pemain pada setiap jersi menggunakan pen marker.

Setelah berpuas hati, pengadil membenarkan perlawanan dimulakan. Sekali pandang, nampak seperti pasukan As Roma menentang Real Madrid. Ini disebabkan jersi Real Potosi juga hampir menyerupai jersi Real Madrid. Jangan kata jersi, malah logo kelab pun lebih kurang sama reka bentuknya dengan logo Real Madrid! (Siapa kata negara China saja pandai klon produk?)

Perlawanan berkesudahan Potosi menewaskan Ciclon dengan jaringan 4-0. Kebetulan, tidak lama lagi Real Madrid 'sebenar' akan menentang As Roma dalam pusingan kalah mati Piala Juara-Juara Eropah. Jadi, nampak macam ini satu petanda buruk buat As Roma.

Sudahlah pakai jersi cetak rompak, nama tulis guna pen marker dan kalah pula tu. Agaknya kalah sebab pakai jersi ciplak gred C. Itulah bang, lain kali beli yang gred Triple A, kain kualiti sikit. Pakai pun badan tak gatal :)

Sumber: www.soccer-blogger.com